Yang patut anda tahu tentang harga minyak [02/12/2014]

HAKIKATNYA, harga bahan api di Malaysia telah sejak tahun 1983 lagi dipantau dan dikawal menggunakan system Automatic Pricing Mechanism (APM).


DALAM kekalutan sidang media oleh pelbagai pihak yang mewakili kerajaan untuk menandingi kepantasan maklumat yang disebar dan dimuat naik di dalam media alternatif, menyebabkan banyak pihak sama ada di pihak pemerintah mahupun pihak pembangkang melupakan fakta sebenar demi menunjukkan yang masing-masing cakna dan prihatin tentang masalah rakyat.
 
Hakikatnya, harga bahan api di Malaysia telah sejak tahun 1983 lagi dipantau dan dikawal menggunakan system Automatic Pricing Mechanism (APM). Ia diguna pakai oleh pihak pemerintah pada asalnya untuk memastikan bahan api yang dijual kepada rakyat Malaysia umumnya adalah bersesuaian dengan kos sara hidup dan ekonomi semasa. Namun begitu, apabila Perdana Menteri silih berganti maka tujuan asal sistem APM ini dilaksanakan mula dilupakan demi mencapai imej populis dalam kalangan rakyat demi menunjukkan bahawa kerajaan benar-benar mengambil tahu tentang masalah rakyat.
 
Ditambah lagi dengan harga pasaran minyak mentah dunia yang telah menurun daripada paras USD100 setong pada awal tahun 2014 hingga ke paras USD75 setong pada hari ini, kerajaan seolah-olah hilang punca apabila didesak oleh pihak pembangkang daripada pelbagai sudut. Walhal, hakikatnya kerajaan tidak perlu gopoh dan terburu-buru kerana sistem APM telah sedia ada untuk menampung sebarang perubahan ke atas harga pasaran minyak mentah dunia. Natijahnya membawa kepada penarikan subsidi secara mengejut.

Ia dibuat tanpa sebarang pelan alternatif bagi mengimbangi risiko yang bakal ditanggung oleh rakyat. Asasnya adalah semata-mata berdasarkan kepada trend penurunan harga pasaran. Perlu diingat, harga pasaran minyak sama ada mentah mahupun yang telah diproses adalah sangat tidak menentu.
 
Harga minyak untuk Malaysia disandarkan kepada harga MOPS yang dikeluarkan oleh syarikat Platts yang dikenali sebagai MOPS (Mean of Platts Singapore). Hal ini adalah kerana, Singapura merupakan pembekal terbesar untuk produk petroleum yang telah diproses di kawasan Asia Pasifik dan ketiga terbesar di dunia. Formula harga yang paling biasa adalah MOPS WMA (Mops whole month average), MOPS Half Month Average atau MOPS yang bersandarkan pada tarikh penerimaan (discharge laycan date). Platts merupakan sebuah syarikat antarabangsa yang beroperasi sebagai syarikat perniagaan komoditi dan maklumat di mana maklumat MOPS yang dikeluarkan oleh syarikat Platts digunakan sebagai rujukan kepada harga semasa untuk digunapakai oleh pihak syarikat penapisan dan pembeli minyak untuk tujuan urus niaga jualbeli. Maklumat yang disediakan oleh syarikat ini adalah hanya boleh diperoleh oleh syarikat pembeli minyak yang melanggan perkhidmatan mereka.
 
Tidak dinafikan, memang harga purata boleh disandarkan pada mana-mana tarif yang dipersetujui oleh pembeli dan penjual  (antara syarikat-syarikat minyak yang beroperasi di Malaysia adalah seperti PETRONAS, SHELL, PETRON, CALTEX, SHELL dan BHP) dengan syarikat yang mempunyai kemudahan penapisan minyak di rantau Asia Pasifik. Tetapi, harga rujukan asas untuk berurus niaga akan sentiasa dirujuk kepada harga MOPS bagi tujuan perundingan.
 
Harga minyak mentah semasa dunia sememangnya berkait secara langsung dengan harga petrol semasa iaitu harga bahan petroleum yang telah diproses seperti gasolin (petrol), kerosin dan diesel akan bergerak seiring dengan pergerakan harga minyak mentah.
 
Hakikatnya ialah tiada siapa yang mampu menjamin harga minyak pasaran akan tetap kekal pada paras yang sama pada sepanjang masa kerana harga akan sentiasa berubah samada naik atau turun! Malaysia tidak terlepas dalam hal ini disebabkan ekonomi kita turut juga berkait dengan ekonomi global semasa yang bergantung kepada hal-hal semasa seperti perkembangan ekonomi di China, kuota pengeluaran minyak oleh negara-negara OPEC, kebergantungan bekalan import Amerika Syarikat, penemuan-penemuan telaga simpanan minyak dan lain-lain lagi.
 
Kesemua faktor-faktor ini sepatutnya telah diambil kira oleh pakar ekonomi negara, pegawai kerajaan, menteri bertanggungjawab untuk merangka strategi yang khusus dalam memastikan belanjawan yang direncanakan untuk perbelanjaan negara digunakan semaksima mungkin bagi memastikan subsidi yang diberikan adalah bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa rakyat secara amnya di samping mengurangkan kesan langsung kepada majoriti kehidupan seharian rakyat Malaysia secara khususnya.

Tetapi yang sebaliknya yang berlaku adalah ketidaktentuan polisi, dasar dan pelaksanaan kerajaan yang secara berterusan merangka perbelanjaan yang tidak mampu menampung asakan daripada perubahan ekonomi global yang menyebabkan akhirnya pihak kerajaan mengambil mudah dengan menyembunyikan fakta sebenar. Sewajarnya, kerajaan hendaklah bersikap telus dalam menguruskan jumlah bajet subsidi yang telah ditetapkan pada peringkat awal apabila belanjawan negara dibentangkan dan bukannya berdolak dalik apabila rakyat mahukan penjelasan tentang harga minyak yang sepatutnya turun seiring dengan harga semasa pasaran.
 
Yang lebih membimbangkan adalah tercetusnya keadaan panik dalam kalangan rakyat kesan daripada harga minyak yang tidak menentu yang membawa kepada kenaikan kos barang dan perkhidmatan yang melambung tinggi.
 
Penjual dan pemborong terpaksa meminimakan risiko sekiranya kenaikan harga minyak berlaku secara mendadak. Justeru, mereka terpaksa meletakkan harga yang tinggi dalam julat harga barang atau perkhidmatan yang mereka tawarkan agar mereka tidak perlu melakukan perubahan yang terlalu banyak sekiranya harga minyak naik melambung nanti. Nah, di sini jelas kelihatan siapakah yang tersepit. Rakyat yang sepatutnya mendapat manfaat daripada keuntungan jualan harga minyak terpaksa membayar kesemua kos yang ditanggung.
 
Sejarah membuktikan bahawa pasaran minyak dunia pernah turun dan naik dengan kadar yang sangat drastik yang direkodkan di mana pada bulan Julai 2008, harga minyak mentah adalah USD147 setong, namun turun sehingga USD40 pada January 2011. Penurunan yang mendadak ini sekiranya disokong dengan sistem APM dan dasar kerajaan yang telus dalam menguruskan kewangan negara seharusnya tidak menyebabkan rakyat berasa gusar.
 
Namun begitu, dengan dasar dan skandal yang melibatkan polisi kerajaan seperti GST, pelaburan 1MDB, defisit yang tinggi, kenaikan kos sara hidup yang melampau dan lain-lain menyebabkan rakyat tidak lagi percaya dengan dasar dan pelaksanaan kerajaan. Ditambah lagi dengan kenyataan-kenyataan akhbar daripada menteri bertanggungjawab yang kebanyakannya bercanggah di antara satu sama lain dan berubah-ubah seolah-olah kerajaan seperti tiada sistem pelaksanaan untuk memantau harga bahan api selama ini. Ini ditambah lagi dengan janji-janji manis Perdana Menteri untuk tidak menurunkan harga bahan api selepas PRU13 yang lepas.
 
Kesemua kecelaruan ini akhirnya memakan diri apabila tiba-tiba tanpa diduga oleh politikus-politikus, harga bahan api mula menjunam turun. Subsidi yang dicanang-canang rupanya tidak perlu lagi diberi sekiranya harga semasa bahan api dikekalkan. Sebaliknya jika harga bahan api terus kekal, kerajaan akan dapat menikmati hasil daripada jumlah duti yang dikenakan ke atas syarikat minyak atas perbezaan harga jualan dan harga kos bahan. Barangkali baru sekarang pak menteri baru mahu ambil tahu tentang sistem APM yang telah lama wujud. Maka dikeluarkan kenyataan bahawa harga bahan api mulai bulan Disember 2014 akan dikawal melalui kaedah pengapungan terkawal yang hakikatnya telah lama dilaksanakan.
 
Natijahnya, sekarang, rakyat mahukan harga bahan api diturunkan seiring dengan janji Perdana Menteri. Sistem yang sedia ada akhirnya kini dijenamakan semula seolah-olah kerajaan telah bertindak dalam sekelip mata untuk mengatasi kekalutan dan lawak jenaka yang ditimbulkan oleh tangan-tangan mereka sendiri. – HARAKAHDAILY 2/12/2014

Ir. Khairil Nizam Khirudin ialah Naib Ketua Pemuda, Pemuda PAS Malaysia

02/12/2014
Kategori:
Seksyen:
Ditulis oleh: IR. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN