Diktatorkah Sultan Abdul Hamid ke-II? [05/07/2013]

Selepas menaiki takhta pada tahun 1876, Sultan Abdul Hamid II, telah melakukan pelbagai transformasi khususnya perundangan.

(Gambar) Sultan Abdul Hamid II semasa berhadapan dengan rombongan yang membawa watikah pemecatan beliau daripada jawatan khalifah (1909M)

Baginda telah memperkenalkan Perlembagaan Baru dengan format Parlimen yang lebih tersusun dan semasa (First Constitution Era 1876-1877M). Krisis antara baginda dan Midhat Pasha selaku Perdana Menteri ‘durjana’ yang sangat berkuasa, hutang negara yang begitu membebankan serta pelbagai masalah tempatan, ‘regional‘ dan antarabangsa meletakkan Sultan Abdul Hamid II dalam keadaan yang amat sukar untuk menyelamatkan Daulah Uthmaniah.

Namun kebijakan beliau mendapatkan kerjasama Midhat Pasha, golongan Uthmaniah Muda (Young Ottoman) serta mengusir campur tangan Barat secara yang sangat diplomatik tetapi tegas, baginda berhasil menggerakkan momentum yang diperlukan.

Akan tetapi, peperangan yang tercetus antara Daulah Uthmaniah dan Rusia telah memaksa Sultan Abdul Hamid II tunduk dan menandatangani perjanjian San Stefano (Yesilkoy) pada tahun 1878.

Situasi ini telah memburukkan keadaan.

Rusia memperoleh banyak wilayah di timur Anatolia, juga penyerahan daerah-daerah Aegean kepada Bulgaria, kuasa autonomi buat Bosnia Herzegovina dan terlepasnya Serbia daripada wilayah Uthmaniah, baginda berada dalam keadaan yang amat tertekan.

Pada masa itulah Sultan Abdul Hamid II telah bertindak menggantung Parlimen, dengan tujuan meningkatkan efisyensi ‘chain of command‘ yang sangat sukar dicapai melalui persidangan yang caca merba. Tindakan baginda menggantung Parlimen itulah titik penting yang menyebabkan Sultan Abdul Hamid II difitnah sebagai DIKTATOR, SULTAN MERAH, OTOKRATIS dan pelbagai gelaran yang seumpama dengannya.

Benarkah beliau seorang diktator?

Sultan Abdul Hamid II berlapang dada dengan kecaman itu. Baginda seperti memekakkan telinga terhadapnya.

Sultan Abdul Hamid II bertegas melakukan satu demi satu transformasi dengan melancarkan kempen Pan Islamism ke seluruh dunia Islam, menjayakan projek keretapi Hijaz serta berusaha menyelamatkan Palestin daripada konspirasi Zionis dan pelbagai tindakan yang kelihatannya seperti ‘one man show‘.

Di keliling Sultan Abdul Hamid II ada ramai pengkhianat termasuk Midhat Pasha sendiri. Oleh itu, Sultan Abdul Hamid II banyak bertindak berpandukan maklumat-maklumat keselamatan peribadi yang tidak diketahui umum. Tetapi Sultan Abdul Hamid II masih berterusan mendapatkan pandangan pelbagai pihak yang diyakininya boleh membantu.

Pembacaan secara menyeluruh terhadap sikap Sultan Abdul Hamid II akan memahamkan kepada kita bahawa Baginda bukan seorang diktator, apatah lagi dengan berulang kali pendakwa hanya berhujah pada tindakan menggantung Parlimen itu tadi.

Selama berpuluh tahun selepas mangkatnya baginda, masyarakat menerima bulat-bulat tuduhan yang dilemparkan terhadap Sultan Abdul Hamid II hingga buku-buku sejarah di negara kita juga turut memetik baginda sebagai seorang diktator. Hanya selepas diari beliau (Muzakkirat) ditemui, dikaji bersama surat-menyurat antara beliau semasa dalam buangan di Salonika dengan murabbinya, dan analisis dokumen lanjutan yang dibuat terhadap polisi-polisi Sultan Abdul Hamid II, kita menginsafi betapa ada kalanya seorang pemimpin terpaksa bertindak seperti tindakan Sultan Abdul Hamid II.

Jika kita hanya ada satu pengertian terhadap diktator dan otokratik, bagaimana kita menafsirkan Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam yang kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman, kesemuanya berada di tangan baginda? Adakah Muhammad itu seorang diktator?

“Aku yakin yang ahli sejarah akan membelaku. Seandainya ahli sejarah Turki tidak melakukannya sekali pun, aku pasti akan ada ahli sejarah luar yang akan menegakkan keadilan buatku,” Sultan Abdul Hamid II menulis suara hatinya ketika di pembuangan di Salonika, Greece.

Rahmat Allah ke atas Sultan Abdul Hamid II. Dan semoga Allah membantu pemimpin-pemimpin kita yang dimomok sebagai ‘diktator’.

Presiden sah Mesir, Dr Muhammad al-Morsi.

Perdana Menteri Turki, Recep Tayyib Erdogan.

Kedua-duanya sedang berjuang di medan yang amat tegang, semoga Allah menyelamatkan lidah kita daripada kecelaan lisan yang jahil dan tergesa-gesa.

http://saifulislam.com/


05/07/2013
Kategori:
Seksyen:
Ditulis oleh: Ustaz Hasrizal Abdul Jamil