NGO mahu penduduk tanah tradisi Terengganu dibela [30/10/2012]

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini menerima memorandum daripada sebuah NGO berhubung tindakan kerajaan Terengganu mengambil 36 buah kampung tradisi untuk tujuan pembangunan.


 

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerima memorandum daripada NGO Institut Peduli Rakyat (NULLIPR)-Terengganu berhubung tindakan kerajaan Terengganu merampas tanah 36 buah kampung tradisi tanpa mengikut prosedur dan akta pengambilan tanah 1960.

Menurut Abdul Hadi, sebarang pembangunan yang diusahakan oleh kerajaan sangat dialu-alukan dengan syarat rakyat mesti dilibatkan sama khususnya apabila membabitkan tanah mereka.

"Bukan bermakna kita menolak pembangunan tetapi setiap rakyat mesti dilibatkan untuk pembangunan dengan cara munasabah. Perlu ada makanisme bagaimana untuk turut sama melibatkan rakyat dalam sesuatu pembangunan yang hendak dijalankan," katanya di lobi Parlimen.

Turut sama menerima memorandum tersebut Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Ketua IPR Terengganu Salleh Embong, banyak kampung tradisi dalam bandar Kuala Terengganu terhapus kerana pembangunan semula bandar yang tidak mengambil kira kepentingan masyarakat yang tinggal di kampung tersebut.

Katanya, kebanyakkan kampung ini mempunyai nilai warisan yang sepatutnya dijaga oleh kerajaan.

"Disinilah tempatnya perusahaan-perusahaan tembaga dan songket yang terkenal di seluruh Malaysia," katanya.

Tambahnya, 36 kampung yang terdiri daripada puluhan ribu penduduk ini adalah sebahagian dari kampung tradisi yang telah terhapus, sedang terhapus dan akan terhapus ekoran dari kerakusan pembangunan.

Antara kampung yang sudah terhapus, Kampung Daik, Kampung Keling, Kampung Paya Keladi, Kampung Jail, Kampung Aur, Kampung Petani, Kampung Cendering dan Kampung Pantai Pandak.

Manakala kampung yang sedang terhapus Kampung Ladang Mengabang, Kampung ladang Cicar, Kampung Ladang Batu Satu dan Kampung Cabang Tiga.

Bercakap kepada media di lobi Parlimen Salleh berkata Kampung Ladang antara yang terkenal dengan perusahaan kraf songket dan tembaga.

Kata beliau, sebelum berpindah penduduk kampung berkenaan dijanjikan sewa beli tempat baru dengan kadar RM126 sebulan malangnya mereka terpaksa membayar sewa sebanyak RM300 sebulan.

"Tapak warisan kraf mereka sekarang ini dibangunkan dengan kondominium mewah yang akan menjadi mercu tanda kemegahan Kuala Terengganu, sebaliknya menafikan kemampuan kebanyakkan penduduk asal untuk memilikinya," katanya.

Justeru katanya, pengambilan tanah yang mengabaikan prosedur akta pengambilan tanah dan penghapusan masyarakat kampung tradisi yang berkaitan dengannya adalah isu kemanusiaan dan kemasyarakat yang perlu dititikberatkan oleh kerajaan Negeri Terengganu dalam usaha mengambil tanah atas nama pembangunan.

"Isu pampasan, penghapusan kampung tradisi dan masyarakatnya, pembangunan yang mengenepikan kepentingan sosio ekonomi dan ekologi penduduk kampung berkenaan mengakibatkan penghapusan masyarakat setempat dan menimbulkan kesulitan hidup," katanya.

30/10/2012
Kategori: Terbaik Dari Harakah
Seksyen: Rencana
Ditulis oleh: Salmiyah Harun Foto Fendi SK