Ainuddin, Harakah dan polemik merdeka [03/10/2011]


Petang Selasa lalu, saya sempat menghadiri majlis pelancaran buku biografi Tan Sri Ainuddin Abd Wahid, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ainuddin Pejuang 'Degil' Melayu, garapan Fatini Yaacob, yang disempurnakan Dato' Seri Najib Razak.

Saya turut ditemubual oleh penyelidik buku ini, pada Ogos 2009, selepas pertemuan yang dirancang Fatini di pejabat Harakah gagal berlangsung. Mungkin nama saya timbul ekoran kontroversi pemecatan saya pada 1986 dan pembabitan dalam gerakan pelajar 1985-86.

(Ahmad Lutfi bergambar di ruang pameran mengenang jasa Ainuddin.)

Ainuddin, yang popular dengan gelaran "bapa Tan Sri" oleh warga UTM, memang dikenali sebagai tokoh pendidik yang kental semangat Melayu-Islamnya. Seingat saya, ketika kampus lain kadangkalanya bergolak dengan bantahan pelajar Islam terhadap kegiatan mungkar dan maksiat, UTM tetap "aman damai".

Kampus Jalan Gurney (kini Jalan Semarak) menjadi saksi bagaimana ketegasan Ainuddin membendung pengaruh budaya liar, dengan peraturan yang mungkin dilihat kolot, seperti tidak membenarkan aktiviti budaya membabitkan mahasiswi di atas pentas. Begitu juga dengan pengasasan subjek pendidikan Islam sepanjang kursus (setiap semester bagi tempoh tiga tahun untuk diploma dan lima tahun, ijazah).

Meskipun terpalit dengan beberapa isu seperti pemecatan pelajar purdah pada 1985 (semasa saya menjadi Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa UTM) dan penyingkiran Ustaz Fadzil Mohd Noor (tanpa diberi peluang membela diri), namun jasa besarnya semasa mengetuai Maktab Teknik, bermula Ogos 1969, seterusnya bertukar nama Institut Teknologi Kebangsaan, 1972 dan  UTM, pada 1975 tetap terakam kukuh dalam sejarah.

Ainuddin mungkin selamanya akan dikenang kerana "kedegilannya" mahu memastikan setiap anak Melayu diberi "peluang dan bimbingan" untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains. Masakan tidak, dalam masa lima tahun, beliau menggandakan jumlah pelajar Melayu daripada skala 10:90 kepada 90:10.

Malah ada rakan sebaya saya, yang mendapat keputusan SPM menghampiri gred tiga, tetapi masih ditawarkan pengajian di UTM dalam kursus sarjana muda (pelajar gred pertama pun lebih selesa mengikuti kursus diploma) dan beliau lulus sebagai jurutera lima tahun kemudiannya.

Meskipun bercanggah dalam beberapa isu tertentu yang diperjuangkan PMUTM, saya masih ingat, semasa bertemu Ainuddin di pejabatnya, kami lebih banyak berbicara soal masa depan anak-anak Melayu. Beliau terpaksa "berdegil" mempertahankan kuota pelajar Melayu walaupun diasak pihak menteri.

Ada kalanya beliau meluahkan rasa tertekan dengan kehendak orang-orang politik dan saya percaya tindakan pemecatan pelajar purdah pun disebabkan arahan langsung Perdana Menteri, yang ketika itu sebagai Menteri Pertahanan sering melintasi kampus UTM saban minggu.

(Najib, Fatini dan Naib Canselor UTM, Prof Zaini Ujang semasa majlis pelancaran buku.)

Selepas saya keluar UTM, dan beliau telahpun bersara, saya mengunjunginya beberapa kali. Rumahnya tidak jauh daripada kediaman saya di Ampang. Kali pertama berjumpa, untuk mengadakan wawancara, selepas belasan tahun tidak bertemu, saya membawa senaskhah Harakah.

"Saya dah ada Harakah, jarang saya terlepas," katanya. Elok saya panjangkan kisah Ainuddin ini dalam kesempatan lain.

II. Pendebatan sejarah

Perdebatan isu sejarah kemerdekaan negara masih belum selesai. Perbahasan mengenainya berterusan. Sambutan pula di luar dugaan. Bayangkan, kalau dahulu program membicarakan soal sejarah cukup membosankan, kini hadirin memenuhi dewan!

Bermula kontroversi Mat Indera dan serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong, seterusnya pengiktirafan kepada setiap pejuang yang menentang imperialis, disusuli dakwaan Majlis Profesor Negara bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah.

Pakar sejarah, Prof Dato' Mohamad Abu Bakar, buat kali kedua (pertama di Wacana Merdeka Universiti Malaya, kemudiannya di pejabat Sinar Harian), secara tidak langsung merakamkan penghargaan di atas peranan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, yang disifatkan sebagai fenomena "Sabuisme", kerana mencetuskan minat luar biasa kepada sejarah.

Bagi saya, biarkan saja debat ini. Biarkan masing-masing berhujah, mencari dalil, mengemukakan bukti, menyelongkar dokumen lampau. Ya, ia sesuatu yang positif dan dari satu sisi boleh memantapkan tradisi keilmuan.

Daripada bertelingkah hal remeh-temeh yang lain, bukankah lebih baik bergelut meneliti teks sejarah? Justeru, agak ramai tertarik dengan pandangan Dr Ahmad Kamal Ariffin Muhd Rus, melalui kertas kerjanya, "Status Negeri-Negeri Melayu Pada Era Pentadbiran British", yang saya kutip dalam tulisan minggu lalu.

Benar, pensyarah Jabatan Sejarah UM, yang cacat penglihatan itu, menampilkan dokumen dan fakta, sekali gus menyanggah dakwaan MPN. Tulisan 34 halamannya sarat dengan rujukan dan nota kaki, dimulai dengan penjelasan mengenai kategori negeri-negeri jajahan British.

Taktik licik dimulai oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, Andrew Clarke melalui Perjanjian Pangkor 1874, yang memperluaskan pengaruh British ke Negeri-Negeri Melayu (NNM). Antara tahun 1874-1895, Residen British di empat NNM muncul sebagai orang paling berpengaruh.

Senario ini merupakan rangkaian penguasaan yang sememangnya distrategikan lantaran menjadikan NNM ini ditadbir bagao sebuah jajahan meskipun kononnya dari segi undang-undang NNM ini berstatus Negeri Lindungan British.

Rangkaian itu berjaya dibentuk memandangkan residen yang ditugaskan di NNM perlu bertanggungjawab kepada Gabenor British di Singapura dan gabenor ini pula perlu bertanggungjawab kepada Setiausaha Tanah Jajahan di Lindon.

Begitu juga dengan penguasaan Residen British melalui Majlis Mesyuarat Negeri (MMN); walaupun ditubuhkan sebagai Majlis Penasihat namun ia adalah badan legislatif dan eksekutif negeri, juga dalam kes tertentu bertindak sebagai mahkamah tertinggi.

Sultan tidak lagi dibenar mengeluarkan titah atau sebarang arahan pemerintahan di luar MMN. Sebarang perintah di luar MMN dianggap tidak sah. Satu cara digunakan residen bagi memastikan Sultan tidak mengeluarkan perintah di luar MMN ialah dengan menyimpan cap mohor Sultan di pejabat residen.

Cap mohor hanya boleh digunakan dengan izin residen. Fungsi dan perjalanan MMN juga dikawal oleh gabenor di Singapura. Terdapat kelulusan yang diberi perkenan Sultan diarah ubah oleh gabenor. Manakala kuasa eksekutif residen jeneral begitu besar sehingga menghakis kuasa MMN, apatah lagi Sultan.

Penubuhan Persidangan Residen-Residen British pada 1896, diikuti perjanjian 20 Oktober 1909 yang melahirkan Majlis Mesyuarat Persekutuan (MMP) memperuntukkan kuasa sebegitu luas kepada Pesuruhjaya British. Keahlian Raja-Raja Melayu dalam MMP tidak melebihi ahli biasa.

Baginda tidak mempunyai kuasa veto, tidak boleh mempengerusikan majlis, tidak diberikan undi kedua, tidak berkuasa melantik sebarang ahli, tidak boleh menentukan tarikh dan lokasi mesyuarat, tidak boleh menentukan agenda mesyuarat dan paling menghinakan ialah ketidakhadiran mereka tidak menjejaskan proses kelulusan undang-undang.

MMP menjadi instrumen sangat mustajab dalam memastikan segala keperluan kuasa dan kewangan yang diperlukan British dipenuhi. Misalnya pada 1912, ahli-ahli MMP berjaya dipengaruhi bagi meluluskan peruntukan $20 juga sebagai modal permulaan membina sebuah kapal perang untuk dihadiahkan kepada British.

Pada 1916, MMP digunakan bagi meluluskan undang-undang percukaian perang, bagi membantu Britain yang terbabit dalam peperangan di Eropah. Dalam tempoh 1915-18, MMP meluluskan 39 enakmen berkaitan perang.

Saya tidak bermaksud untuk menyendatkan minda anda dengan fakta-fakta sejarah. Sekadar mengungkapkan kembali tulisan Dr Ahmad Kamal, bagi menyerlahkan sikap sebahagian ahli akademik kita, seperti kata Prof Mohamad Abu Bakar, sebagai "pro-establisment professors yang akur terhadap segala apa yang diluahkan pemerintah".

Ayuh, berdebatlah dengan disiplin ilmu sebebasnya tetapi amatlah memalukan sekali apabila pandangan sarjana kita hanya dikeluarkan untuk menyokong penguasa, demi kepentingan sempit politik mereka.

III. Akta Mesin Cetak

Sebagai wartawan-penulis yang berdepan langsung pelbagai tekanan pemerintah, khususnya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP), saya amat mengharapkan Perdana Menteri mengotakan janjinya, bukan saja memansuhkan ISA,  juga menyediakan ruang kondusif untuk pengamal media.

Pindaan AMCP 1984 yang diumumkan pada malam Hari Malaysia, tidak menyentuh perkara pokok kebebasan akhbar. Isu utama seperti kuasa mutlak menteri (untuk melulus dan menolak permohonan, juga menggantung atau menarik balik permit) yang tidak boleh dicabar di mahkamah, penghapusan semakan kehakiman dan penyingkiran hak pendengaran belum disentuh.

Meskipun internet tidak dibatasi oleh AMCP namun tidak bermakna peraturan "lapuk dan karut-marut" itu wajar didiamkan sahaja. Rakyat perlu bersuara dan membantah; usah hanya menunggu akta drakonian ditelan sejarah secara semulajadi. Ahli-ahli politik pula mesti proaktif membenamkan semua undang-undang zalim.

Harakah antara akhbar paling teruk ditekan KDN, selain Suara Keadilan yang diharamkan terus. Syarat-syarat (terutama mengenai penjualan, pengedaran dan kandungan) yang dipaksakan ke atas Harakah memang bersifat "karut-marut" terutama dilihat dalam konteks dunia siber.

Tanpa sedar, syarat-syarat itu menyudutkan Harakah daripada dapat bersaing di atas padang permainan sama rata dengan akhbar milik Umno-BN yang lain. Bagi saya, untuk PRU13 ini, media tradisi seperti akhbar (apa lagi televisyen dan radion), masih kekal berpengaruh dan  bakal menentukan siapa pemenangnya.

Sementara kami cuba memperbaiki penampilan dan kualiti Harakah, misalnya dengan mengemukakan "wajah baru" mulai edisi Jumaat 30 September 2011, penggerak parti wajar menyebarluaskan rangkaian pengedaran dan penyebaran akhbar-akhbar alternatif.

Saya mendapat maklum balas betapa masih banyak kawasan atau lokasi yang belum dijenguk Harakah, apatah lagi di Sabah dan Sarawak, yang dikira"simpanan tetap" BN. Begitu juga dengan kampung-kampung tradisi dan penempatan tanah rancangan, yang selama ini diakui kubu kuat Umno.

Selain mengharapkan inisiatif rasmi pihak pengedaran Harakah, saya beberapa kali menyarankan agar aktivis PAS memikirkan pendekatan praktik agar ia dapat dikongsi dengan lebih ramai pembaca.

Mungkin nilai RM2 senaskhah  boleh dijadikan sumbangan tetap bagi membeli "satu lagi" Harakah sebagai hadiah. Apa pun, supaya dapat digerakkan dengan cepat kerana masa cukup mendesak sekarang, inisiatif ini harus digerakkan daripada atas, iaitu pimpinan parti sendiri,'kan?

03/10/2011
Kategori:
Seksyen:
Ditulis oleh: Ahmad Lutfi Othman