Hilangnya idealisme kepelbagaian kaum dalam Gerakan [24/10/2008]

Minggu lalu parti Gerakan Rakyat Malaysia mengadakan pemilihannya, kemudian diikuti pula oleh Persatuan Cina Malaysia (MCA) yang turut membahaskan mengenai usaha memulihkan kedudukan politik mereka setelah teruk dibelasah oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dalam pilihan raya 8 Mac lalu.


Gerakan, DAP dan KeADILan adalah parti pelbagai kaum. Cuma MCA adalah parti Cina. Tetapi Gerakan dan DAP didominasi kaum Cina hingga ia menjadi parti untuk kaum berkenaan walaupun terdapat orang India dan Melayu menjadi anggotanya.

Sebaliknya, Gerakan muncul sebagai parti Cina kedua dalam BN. Sedangkan DAP menjadi parti Cina pembangkang utama di negara ini.

Sebaliknya KeADILan muncul sebagai parti yang benar-benar bersifat pelbagai kaum. Ini kerana ia tidak didominasi oleh mana-mana kaum walaupun kepimpinannya dipegang oleh orang Melayu.

Akan tetapi KeADILan tidak menjadi parti Melayu, seperti mana Gerakan dan DAP muncul sebagai parti Cina. Ia benar-benar parti pelbagai kaum seperti yang pernah dicita-citakan Dato' Onn Jaafar ketika membuat usul supaya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) ditukar menjadi Pertubuhan Kebangsaan Malaya Bersatu untuk ditarik keanggotaannya daripada kalangan orang Cina dan India.

Setelah ditolak orang Umno, Dato' Onn menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) yang bersifat pelbagai kaum. Ia seperti KeADILan, tidak didominasi mana-mana kaum tetapi dipimpin oleh orang Melayu.

IMP kecundang dalam pilihan raya kerana rakyat memilih Perikatan (Umno-MCA). Dengan rasa kecewa, Dato' Onn menubuhkan Parti Negara. Oleh kerana negara sudah merdeka, maka IMP tidak sesuai lagi dan hala perjuangan harus ditekankan kepada pembinaan negara.

Sebab itulah namanya Parti Negara. Parti Negara juga bersifat pelbagai kaum, tetapi didominasi orang Melayu. Lambangnya pokok padi. Parti itu gagal dan anggota-anggotanya banyak menyertai Umno.

Kini lambang itulah yang digunakan Gerakan. Padi sering digunakan sebagai lambang di Asia bagi mencerminkan kebajikan rakyat. Kalau lambang parti komunis ialah tukul besi dan sabit bagi mencerminkan industri dan pertanian, maka banyak gerakan politik kiri turut meniru simbol-simbol itu.

Cumanya negara-negara bukan perindustrian, mereka berasa tidak sesuai untuk menggunakan lambang tukul besi. Bagi mengekalkan sabit saja tidak pula sesuai.

Maka diletakkanlah lambang sabit dan gandum. Tetapi bagi negara Asia, gandum digantikan dengan padi. Itulah juga lambang banyak parti kiri di India.

Untuk mencerminkan kepentingan padi, ada kalanya digantikan dengan kerbau kerana ia digunakan bagi membajak. Maka di Indonesia, lambang kerbau, seladang atau disebut Banteng digunakan bagi mencerminkan kekuatan rakyat.

Itulah yang menjadi lambang Parti Rakyat Malaysia (PRM) sebelum digabungkan dengan Parti Keadilan Nasional untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat. Istilah rakyat amat popular digunakan oleh parti-parti awal kemerdekaan. Selain PRM, Gerakan, parti yang menggunakan perkataan 'rakyat' ialah Parti Progresif Rakyat (PPP), Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), semuanya adalah parti pelbagai kaum yang asalnya bersifat kiri.

PPP yang popular di Perak pada awal kemerdekaan asalnya ialah Parti Progresif Perak. Popularitinya juga menunjukkan betapa Perak mempunyai sejarah panjang sebagai pusat gerakan pembangkang.

Di Peraklah tempat lahir Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Hizbul Muslimin (HM), Barisan Tani Se-malaya (BATAS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Majlis Tertinggi Agama (MATA).

Pengasas PRM, Ahmad Bosetamam dan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dan Rashid Maidin juga berasal dari Perak. Lagipun Kem Kemunting di mana tahanan ISA ditempatkan ialah di Perak.

Justeru, tidak hairanlah kini Perak diperintah Pakatan Rakyat dengan satu kerusi parlimen dipegang Parti Sosialis Malaysia (PSM).

PPP menjadi kecil apabila ia menyertai BN. Pernah satu masa, ia dipegang calon MCA yang kalah. Ahli MCA yang kecewa itu melompat ke dalam PPP dan menjadikan parti itu didominasi kaum Cina, dan parti ketiga Cina di Semenanjung dalam BN.

Kini PPP menjadi Parti Progresif Penduduk dengan perkataan rakyat dihilangkan. Walaupun ia merupakan parti pelbagai kaum tetapi ia didominasi kaum India hinggakan ada anggapan bahawa ia parti India kedua selepas MIC dalam BN.

Peranan PPP adalah seperti Gerakan bagi kaum Cina selepas MIC dalam BN. Namun begitu, dalam pilihan raya 8 Mac lalu, pengundi India turut menolak MIC dan PPP, mereka memilih DAP dan KeADILan.

Nampaknya penyokong Hindraf memilih arah ke kiri termasuklah untuk PSM yang mempunyai banyak ahli dari kalangan kaum India.

Lagipun dari segi sejarahnya, MIC dan PPP juga pernah menjadi parti kiri. Kalau PPP pernah dipegang calon MCA yang kalah, Gerakan mengalami perkara sama dalam dua bentuk.

Ia ditubuhkan ekoran kekalahan Lim Chong Eu dalam pemilihan MCA. Tetapi beliau mahu menubuhkan parti pelbagai kaum sebagai ganti tempat perjuangannya.

Maka Syed Hussein Al-Attas dipilih mengetuai parti itu. Perjuangan gerakan ketika itu adalah tidak jauh bezanya dengan IMP, Parti Negara dan KeADILan pada masa ini. Tetapi setelah menang di Pulau Pinang dan kemudiannya menyertai BN, Gerakan berubah menjadi parti yang kurang sifat pelbagai kaum, tetapi lebih menjadi parti Cina. Syed Hussein pun meninggalkan parti itu. Pada waktu kemudiannya apabila Michael Chen gagal dalam pemilihan MCA dia membawa pengikut menyeberangi masuk Gerakan. Justeru, Gerakan menjadi parti alternatif kepada MCA dalam BN. Tokoh lain yang kecewa dengan kemasukan Gerakan ke dalam BN ialah Tan Chee Khoon.

Beliau keluar dan menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas). Lambangnya ialah matahari terbit sebagai simbol harapan pada zaman baru. Warnanya seperti lambang Gerakan iaitu hijau dan merah.

Beliau juga mahukan Pekemas bersifat pelbagai kaum. Maka beliau berjaya mengajak Ahmad Boestamam yang ketika itu sudah keluar daripada PRM dan menubuhkan Parti Marhaen untuk menyertainya.

Pekemas hanya ada satu kerusi iaitu Kepong. Selepas beliau, anak didiknya juga menang di situ tetapi atas tiket Gerakan.

Kini kawasan itu berada dalam tangan DAP. Setelah Pekemas bubar, Boestamam kembali kepada PRM. Andainya Pekemas masih ada, ia pasti menjadi sebahagian Pakatan Rakyat. Ini kerana Parti Keadilan Rakyat mewarisi perjuangan Parti Rakyat dan Parti Keadilan Masyarakat. Gerakan hanya menjadi MCA kedua dalam BN.

24/10/2008
Kategori: Terbaik Dari Harakah
Seksyen: Khas
Ditulis oleh: Abu Firdaus