Bekas Duta Amerika dedahkan Kedutaan Malaysia bayar Abramoff [21/03/2006]

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Hrkh) - Bekas Duta Amerika ke Kuala Lumpur, John L Mallot hari ini mendedahkan Jawatankuasa Senat Amerika mempunyai bukti, Kedutaan Malaysia di Washington yang membayar wang kepada pelobi yang disahkan korup oleh Amerika, Jack Abramoff untuk membunuh karier politik Anwar Ibrahim.


Jawatankuasa Senat itu, tulis Mallot,  mempunyai salinan invois dari American International Centre (AIM), kepada Kedutaan Malaysia di Washington DC.

Senat juga, tulisnya, mempunyai salinan cek bernilai USD300,000 dari Kedutaan Malaysia di Washington DC kepada badan pelobi palsu yang ditubuhkan Abramoff, AIC itu.  Mereka juga mempunyai bukti beberapa bayaran yang lain dari Kedutaan Malaysia.

Mallot mendedahkan perkara ini dalam tulisannya yang disiarkan Malaysiakini hari ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir mengaku Abramoff dibayar sejumlah wang tetapi menafikan kerajaan Malaysia yang membayarnya.

USD2 juta digunakan

Menurut tulisan Mallot itu, Abramoff (gambar) dibayar sejumlah USD1.2 juta. Ini tidak termasuk sejumlah wang yang datangnya dari syarikat yang dimiliki oleh Megat Junid Megat Ayub yang dibayar kepada eksekutif Yayasan Heritage yang bertugas di Hong Kong, Belle Haven.

Wang itu akhirnya berakhir di empat pelobi Washingtoin DC yang mana mereka adalah sebahagian dari jaringan Abramoff, tulis Mallot.

"Campur semuanya, kita bercakap soal wang bernilai USD2 juta yang digunakan untuk menaikkan reputasi kerajaan Dr Mahathir di Amerika dan menyelesaikan soal gambaran negatif rakyat Amerika terhadap tindakan memenjarakan Anwar dan tekanan politik di Malaysia," tulis Mallot dalam bahagian pertama tulisannya.

Mallot juga menulis, kes Abramoff telah mendedahkan dakwaan Anwar selama ini bahawa beliau adalah mangsa kepada konspirasi politik yang terbesar abad ini.

"Mula-mula Mahkamah Persekutuan membebaskan Anwar dari tuduhan Sodomi. Kemudian datang berita Rahim Noor memohon maaf dan membayar ganti rugi kerana memukul Anwar yang membolehkan beliau terbunuh. Khalid Jafri kemudiannya didapati bersalah kerana kerana memfitnah melalui buku '50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM', yang mana buku ini entah macamana termasuk dalam beg para perwakilan Umno pada tahun 1998," tulis Mallot.

Sebelum ini, kata Mallot, beliau sentiasa tertanya-tanya bagaimana Amy Ridenour yang bukannya pakar polisi antarabangsa, boleh menulis dalam akhbar Wasington Times pada tahun 2001, yang menyerang Anwar sebagai pengganas militan Islam.

"Sukar bagi saya untuk menjelaskan minat beliau yang secara mendadak itu. Selepas tulisan itulah, saya mula mendengar khabar angin tentang wang Malaysia berlegar di ruang angkasa Washington DC," tulis Mallot.

"Sekarang baru kita tahu jawapannya. Ada hubungan yang sangat jelas antara Abramoff dengan Ridenour. Abramoff adalah ahli lembaga pengarah dalam apa yang dinamakan think tank Ridenour," tulis Mallot lagi.

Sebelum ini, tulis Mallot, The New Republic telah melaporkan, pada tahun 2000 ketika Abramoff buat pertama kalinya membuat proposal kepada kerajaan Malaysia, jika beliau dilantik, dia berjanji dia akan "facilitated hundreds of ...articles and editorials." (Usahakan ratusan tulisan dan laporan).

21/03/2006
Kategori: Utama
Seksyen: Lagi berita >>
Ditulis oleh: